Thursday, 15 December 2011

Jangan menderhakai anakmu !


Pada suatu hari, seorang lelaki telah datang kepada Amirul Mukminin, Saidina Umar al-Khattab. Lelaki tersebut telah mengadu kepada khalifah mengenai sikap anaknya yang menderhaka kepadanya. Saidina Umar lantas memanggil anak lelaki tersebut yang dikatakan telah menderhaka kepada bapanya itu.
Apabila anak itu pun sampai, Saidina Umar segera mengingatkannya akan bahaya menderhaka kepada kedua ibubapanya dan menyeru supaya anak itu menjaga hak-hak ibu bapanya. Ketika ditanya sebab dia menderhaka, anak itu menjawab, " Wahai Amirul Mukminin, tidakkah seorang anak mempunyai hak yang harus ditunaikan oleh ibu bapanya?".
"Ya," jawab Khalifah.
"Apakah hak-hak itu wahai Amirul Mukminin?" tanya anak itu.
Khalifah menjawab, " Seorang ayah wajib memilih ibu yang baik untuk anak-anaknya, memberikannya nama yang baik dan mengajarkan Al-Quran kepadanya."
Si anak itu lantas menjawab," Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya bapa saya tidak menunaikan satu apa pun daripada ketiga-tiga hak tersebut kepada saya. Ibu saya beragama majusi. Saya pula diberi nama Khunfusak (bermaksud 'lipas') dan juga saya tidak pernah diajar satu huruf pun dari Al-Quran."

Saidina Umar al-Khattab lantas menoleh kepada ayah anak itu dan mengatakan,"Engkau datang mengadukan kederhakaan anakmu, ternyata engkau yang menderhaka kepadanya terlebih dahulu sebelum dia menderhakai dirimu.  Engkau telah berlaku tidak baik kepadanya sebelum dia berlaku tidak baik kepada engkau."

No comments:

Post a Comment